Add caption |
Dari as-Sa’ib bin Yazid r.a. dikemukakan:
“saudara ibuku membawa aku untuk menemui Nabi s.a.w., lantas ia berkata kepada Rasulullah s.a.w.: ,’ anak saudaraku ini sakit.’
Ketika itu, Rasulullah s.a.w. menyapu kepalaku (as-Sa’ib), mendoakan keberkahan untukku dan berwudhu. Air sisa wudhu’nya lalu kuminum. Setelah itu, aku berdiri di belakangnya; aku memandang kepada khatam (tanda) yang terletak di antara kedua bahunya. Ternyata, khatam itu sebesar telur burung dara.”
(Diriwayatkan oleh Qutaibah bin Sa’id dari Hatim bin Ismail, dari Ja’d bin ‘Abdurrahman yang bersumber dari Sa’ib bin Yazid r.a.)
Dari Jabir bin Samurah r.a. mengemukakan perihal Khatamun-Nabi sebagai berikut:
“Aku pernah melihat khatam (kenabian)… Ia terletak di antara kedua bahu Rasulullah s.a.w. Bentuknya seperti sepotong daging berwarna merah sebesar telur burung dara.”
(Riwayat Sa’id bin Ya’qub at-Thalaqani dari Ayub bin Jabir, dari Simak bin Harb yang bersumber dari Jabir bin Samurah r.a.)
Seorang wanita bernama Rumaitsah bercerita kepada cucunya, iaitu Ashim bin ‘Umar r.a. sebagai berikut:
“Waktu aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, aku duduk berdampingan dengan beliau s.a.w., begitu dekatnya, seandainya aku mahu mengucup tanda kenabian yang terletak di antara kedua bahunya, tentu dapat kulakukan.
Adapun, sabda beliau yang ditujukan kepada Sa’ad bin Mu’adz di kala meninggal dunia ialah: ‘bergoncang Arasy Allah yang Maha Rahman kerananya (kerana kematian Sa’ad).’”
(Riwayat Abu Mush’ab al-Madini, dari Yusuf bin al-Majisyun, dari bapanya, dari ‘Ashim bin ‘Umar bin Qatadah yang bersumber dari neneknya, iaitu Rumaitsah)
Ibrahim bin Muhammad pernah mendengar salah seorang putera ‘Ali bin Abi Thalib k.w. berkata:
“Apabila ‘Ali k.w. menceritakan sifat Rasulullah s.a.w., maka ia akan bercerita panjang lebar. Dan ia akan berkata: ‘Di antara kedua bahunya terdapat Khatam kenabian, iaitu Khatam para Nabi.’”
(Riwayat Ahmad ‘Ubadah ad-Dlabi ‘Ali bin Hujr dan lainnya, yang mereka terima dari Isa bin Yunus dari ‘Umar bin ‘Abdullah, dari ‘Ibrahim bin Muhammad yang bersumber dari salah seorang putera ‘Ali bin Abi Thalib k.w.)
Dalam suatu riwayat, Alba’ bin Ahmar al-Yasykuri mengadakan dialog dengan Abu Zaid ‘Amr bin Akhthab al-Anshari r.a. sebagai berikut:
“Abu Zaid berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku: ‘Wahai Abu Zaid mendekatlah kepadaku dan usaplah belakang tubuhku.’
Maka belakang tubuhnya kuusap, dan terasa jari jemariku menyentuh Khatam. Aku (Alba’ bin Ahmar al-Yaskuri) bertanya kepada Abu Zaid: ‘Apakah khatam itu?’
Abu Zaid menjawab: ‘Kumpulan bulu-bulu.’”
(Riwayat Muhammad bin Basyar, dari Abu ‘Ashim dari ‘Uzrah bin Tsabit, yang bersumber dari Alba’ bin Ahmar al-Yasykuri)
Abu Buraidah r.a. menceritakan tentang pengalaman Salman al-Farisi sebagai berikut:
“Salman al-farisi datang membawa baki berisi kurma kepada Rasulullah s.a.w. (sewaktu ia baru tiba di Madinah). Baki itu diletakkannya di hadapan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Wahai Salman! Apa ini?’
Salman menjawab: ‘Ini sedekah buat anda dan sahabat anda.’
Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Angkatlah ini dari sini, kami tidak makan sedekah.’
Baki itu pun diangkat oleh Salman. Keesokan harinya, ia datang lagi dengan membawa makanan yang serupa dan diletakkan di hadapan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘ Apakah ini wahai Salman?’
Salman menjawab: ‘ Ini adalah hadiah buat tuan.’
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya: ‘HIdangkanlah!’
Kemudian Salman memperhatikan Khatam yang terletak di belakang Rasulullah s.a.w. (bahagian belakang badannya sebelah atas) maka ia pun (Salman) menyatakan keimanannya kepada Beliau. Salman r.a. adalah budak seorang Yahudi, maka oleh rasulullah s.a.w. ia dibeli dengan beberapa dirham, yakni dengan cara mengupah menanam pohon kurma. Salman bekerja di kebun itu sampai pohon-pohon kurman itu berbuah. Rasulullah s.a.w. membantunya menanam pohon-pohon itu. Di antaranya ada sebatang pohon yang ditanam ‘Umar r.a.
Pohon-pohon itu tumbuh dengan subur, kecuali sebatang pohon yang mati.
Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Kenapa pohon yang satu ini?’
Umar r.a. menjawab: ‘Wahai Rasulullah, sayalah yang menanamnya.’
Rasulullah s.a.w. pun mencabutnya, kemudian menanaminya lagi, dan tumbuhlah dengan baik.”
(Riwayat Abu ‘Ammar bin Harits al-Khuza’i, dari ‘Ali bin Husein bin Waqid, dari ‘Abdullah bin Buraidah, yang bersumber dari Abu Buraidah r.a.)
Abu Nadirah al-’Aufi pernah bertanya kepada Abi Sa’id al-Khudri perihal khatam. Inilah ceritanya:
Aku bertanya kepada Abu Sa’id al-Khudri perihal Khatam Kenabian Rasulullah s.a.w.
Ia menjawab: ‘ Khatam itu di bahagian belakang badan Rasulullah s.a.w. merupakan daging yang menyembul.”
(Diriwayatkan oleh Muhammad bin Basyar, dari Bisyr bin al-Wadlan, dari Abu ;Aqil ad-Dauraqi yang bersumber dari Abu Nadlrah al-’Aufi)
‘Abdullah bin Sirjis menceritakan pengalamannya tatkala bersama Rasulullah s.a.w.:
Aku datang menghadap Rasulullah s.a.w. sewaktu beliau sedang berada di antara sahabat-sahabatnya. Aku berkeliling sedemikian rupa di belakangnya. Rupanya beliau mengerti apa yang kuinginkan, maka beliau melepaskan selendang dari belakangnya, kemudian terlihatlah olehku tempat Khatam Kenabian yang berada di antara kedua bahunya sebesar genggaman tangan, di sekitarnya terdapat tahi lalat, seakan-akan kumpulan jerawat. Sebelum aku kembali, aku menghadap dulu kepada Rasulullah s.a.w., kemudian kukatakan:
‘Wahai Rasulullah, semoga Allah s.w.t. melimpahkan maghfirah-Nya kepada tuan!’
Beliau pun menjawab:
‘Bagimu juga.’
Orang-orang (yang berada) ketika itu bertanya:
‘Apakah Rasulullah s.a.w. memohonkan ampunan untukmu?’
Ia menjawab:
‘Ya, dan juga untuk kalian!’
Kemudian, ia membaca ayat yang bermaksud:
“Dan mohonlah ampun kerana dosamu dan mohonlah ampun untuk orang-orang Mu’min, lelaki dan perempuan.” (Muhammad:19)
(riwayat Ahmad bin al-Muqaddam ‘Abul Asy’ats al-’Ajali al-Bashri, dari Hammad bin Zaid dari ‘Ashim al-Ahwal, yang bersumber dari ‘Abdullah bin Sirjis)